Monday, June 27, 2011

Pengajaran dari Peristiwa Isra' Mikraj

[Berikut ringkasan kuliah subuh yang disampaikan oleh Dr Hafidzi Mohd Noor di Masjid Negeri Shah Alam pada subuh 25 Jun 2011].

Solat adalah penting di sisi Allah. Ia satu perintah wajib yang disampaikan langsung oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW dalam peristiwa Isra dan Mikraj.

Pada malam berlakunya Isra Mikraj Nabi SAW mendirikan solat dan mengimamkan semua para Nabi dan Rasul yang diutus sebelum baginda. Semua Nabi-Nabi Bani israel termasuk Nabi Ishaq, Yaakub, Yunus, Yusuf, Musa, Harun, Zakaria, Yahya dan Isa AS menjadi makmum baginda.

Ia mengisyaratkan bahawa amanat risalah dan sekaligus status 'kahiru ummah berpindah kepada umat Muhammad SAW. Maka umat Islam diperingatkan bahawa Bani Israel yang pernah dimuliakan dengan risalah, dihina oleh Allah kerana mengkhianati risalah Islam yang diamanahkan kepada mereka. Begitu jugalah umat Islam akan dihinakan jika mereka mengikuti jejak langkah pengkhianatan Bani Israel.

Peristiwa Isra Mikraj juga mempunyai kaitan yang sangat erat tentang tanah suci. Ruang lingkup tanah suci amat jelas dinyatakan dalam Surah la-Isra' ayat 1. Ia merakamkan tentang peristiwa Isra dan Mikraj. Ayat ini dengan jelas tidak membezakan di antara Tanah suci Makkah dan tanah suci Baitul Maqdis di mana terletaknya Masjid al-Aqsa. Bahkan ulama menegaskan ketiga-tiga tanah suci termasuk Madinah al-Munawarah dirangkum dalam ayat ini kerana al-Aqsa itu sendiri bermaksud 'Yang paling jauh'. Apabila Al-Aqsa dirujuk sebagai masjid yang paling jauh maka di sana masjid yang jauh ialah Masjid an-Nabawi di Madinah.

Umat Islam juga perlu bangkit berjihad dengan harta dan jiwa demi membebaskan Masjid al-Aqsa. Rasulullah SAW pernah berpesan kepada para sahabat supaya 'ziarah dan solat di dalamnya'. Pesanan Nabi ini disampaikan ketika Masjid al-Aqsa ditawan oleh Rum dan Baitul Maqdis hanya dibebaskan 5 tahun selepas wafatnya Rasulullah SAW.

Demi membuka laluan ke Biladu-us-Syams ke utara begitu banyak jihad qital peperangan yang berlaku di antara tentera muslimin dan empayar Rum dan Farsi. Akhirnya pada tahun 637M Baitul Maqdis dibuka dan Masjid al-Aqsa dibebaskan.

Kini umat Islam kembali berhadapan dengan situasi masjid al-Aqsa ditawan dan dikepung. Sebagaimana para sahabat memenuhi pesan Nabi untuk ziarah dan solat di Masjid al-Aqsa dengan berjihad dengan harta dan jiwa mereka, maka itu jugalah tuntutan ke atas umat Islam pada hari ini. Untuk ziarah dan solat di Masjid al-Aqsa umat Islam hanya ada satu pilihan sahaja iaitu berjihad dengan harta dan jiwa mereka.

Selaku muslim marilah kita menanamkan rasa rindu dan kasih kepada Masjid al-Aqsa yang rata-rata dilupakan oleh umat Islam. Kita juga wajib memberi infaq kepada tabung jihad Palestin kerana ia bukan pilihan tetapi satu kewajipan yang ditaklifkan ke atas umat Islam.

No comments:

Post a Comment